Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Wednesday, December 11, 2013

Tiada Penggantimu

Gambar di skrin telefon bimbit, aku amati, renungi hingga hampir menembusi skrin itu. Aku rindu wajah itu. Aku rindu wajah keringat itu. Aku rindu mata, kening, hidung, bibir yang ada pada wajah itu. Sungguh aku rindu meski baru beberapa hari tidak bersua. Mama.. Insan yang telah menjagaku di dalam rahimnya selama 9 bulan 10 hari, yang melahirkan, menyusukan, memandikanku tika aku baru sahaja ingin mengenal dunia. Meski sewaktu kecil aku tidak berada di bawah jagaan mama pada waktu siang, namun keakraban antara kami tetap wujud. Mama akan menemani tidur malamku, sakit peningku, penat setelah seharian bermain. Insan mulia yang tidak pernah mengenal erti penat bekerja dan perlu melayan kerenah gadis ciliknya. 
Mama yang aku kenal, seorang wanita yang lemah-lembut, penyayang, suka memujuk, pemurah, dan bukan seorang yang garang. Dia turuti apa sahaja kemahuan anak-anaknya. Jika marah, marahnya sekejap. Leterannya, leteran menasihati dan ku anggap sebagai gurauan. Teringat sewaktu masih kecil dahulu, aku telah memecahkan teko air kesayangan miliknya, mematahkan pembaris untuk menjahit baju miliknya tapi tidak sedikit pun aku dimarahi. Bukan niat untuk memanjakan, tapi itulah sifat keibuan yang ada dalam dirinya. Malah, baru-baru ini, aku telah melubangkan baju raya miliknya sewaktu sedang menggosok. Tapi, mama hanya senyum. Dan aku, menjadi serba salah. Masakan tidak, esok hari pertama raya dan kami sekeluarga telah merancang memakai baju dengan warna yangg sedondon. Tapi, baju mama telah pun aku rosakkan. 

Aku segera meminta maaf kepadanya kerana aku benar-benar tidak sengaja. Tapi mama tidak sedikit pun menyalahkanku. Aku menjadi serba salah. Mama mengambil bajunya dan cuba menjahit bahagian  yang berlubang. Tanpa disedari, air mata ku gugur melihat mama cuba menutupi lubang yang ada pada bajunya tanpa satu leteran pun. Namun, mama tetap tidak menyalahkanku. tidak sedikit pun kata-kata marah keluar dari mulutnya. 

Dialah MAMA..
 sangat pemaaf, penyayang, penyabar, pemurah dan segala sifat mulia ada padanya. Dia insan yang paling banyak memberi nasihat, dorongan, kata-kata semangat tikaku jatuh tersungkur. Sehinggakan baru-baru ini, ujian datang bertalu-talu kepadaku, mama bingkas selalu menghubungi dan bertanyakan keadaanku seolah-olah faham aku dirundung masalah. 

Bila ditanya bagaimana dia tahu keadaan ku, jawapannya mudah. "ANAK MAMA", hati ibu mana yang tidak terusik bila anaknya sedang ditimpa ujian. Dia melayanku bagai seorang kawan karib sehingga setiap masalah akan ku ceritakan padanya. Tak dapat ku bayangkan bagaimana hidupku tanpa mu ma.. Dia sumber kekuatanku, semangatku, saat aku jatuh tersungkur, dia hadir memimpinku. Di kesempatan ini, aku pohon kemaafan darimu yang telah melahirkanku sekiranya aku telah banyak menyakitimu, menghampakanmu. Dirimu tiada dalang penggantinya mama.


2 comments:

  1. siapa pun di dunia ini yang memahami kita tidak sama seperti ibu kita kan. hanya dia yang tahu dan mampu tenangkan hati anak dia. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ya, benar saudari suhaida.. meski jauh, meski tidak diberitahu tentang hati dan masalah kita, dia masih mampu terasa anak dia sedang kesedihan dan kepayahan

      Delete