Coklat. Ya coklat yang mengalir likat kelihatan dengan sinarnya. Harum baunya mampu membuatkan aku merasa kelaparan. Mungkin saja entri pada kali ini tentang coklat agak lewat daripada tarikh aku mengikuti lawatan ke muzium coklat tempoh hari. Meskipun usiaku kini telah menjangkau 21 tahun, namun pastinya aku tidak mampu menahan rasa gembira tatkala diberitahu oleh pensyarah, kami akan ke muzium coklat. Tidak dapat aku nafikan reaksi yang muncul pada wajah aku dan rakan-rakan, ada yang melompat riang, menjerit girang malah ada juga yang merancang untuk membeli coklat dengan banyaknya. Tidak ketinggalan dengan diriku sendiri yang pastinya terbayang akan suasana muzium coklat yang akan dilawati. Pelbagai persoalan mula menerjah ke lubuk pemikiranku. Pasti semuanya berkaitan dengan muzium coklat itu. Perjalanan dari UKM ke muzium coklat yang terletak di Damansara itu hanya mengambil masa 45 minit perjalanan. Namun, dek kesesakan jalanraya kami tiba agak lewat. Sampai sahaja di muzium coklat, sangkaanku meleset apabila keadaan muzium tidak seperti yang aku bayangkan. Keadaannya agak lengang dan tenang suasananya. Teringat tentang cerita dongeng yang pernah aku baca dan tonton di kaca televisyen sewaktu di zaman cilik. Cerita dongeng 'Rumah Permen' yang diadaptasikan dari buku dongeng bahasa Inggeris bertajuk 'Hassel and Gretel'. Sewaktu kecil dahulu, apabila tiba sahaja musim sekolah, aku sudah pastinya akan setia di hadapan televisyen untuk menonton cerita dongeng itu. Malah sehingga kini, aku juga masih mengimpikan sebuah muzium coklat di hiasi dengan pelbagai jenis dan bentuk coklat seperti di dalam cerita 'Hassel and Gretel'.

Memasuki sahaja ke dalam muzium coklat, harumannya segera menusuk ruang nafasku. Sungguh! Bau yang sangat menyelerakan dengan suasana yang damai dalam muzium tersebut. Kami diberi penerangan oleh Encik Muaz dan diberi pendedahan tentang cara membuat coklat. Seusai penerangan yang diberikan oleh beliau, kami dijemput untuk membeli belah pelbagai jenis coklat yang dijual dengan harga yang berpatutan dan lebih rendah berbanding harga dipasaran. Kami pulang dengan rasa keriangan meskipun tidak berasa puas berada di dalam muzium coklat itu.
No comments:
Post a Comment