Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Sunday, November 10, 2013

Biru Laut 1001 Kenangan

 Laluan yang dilalui ini menggamit kenangan masa silamku. Melalui jalan ke Kota Tinggi, kemudian ke Mersing dan Endau Rompin. Pada cuti Hari Raya Aidiladha yang lepas, aku berkesempatan untuk ke negeri Cik Siti Wan Kembang selama tiga hari. Mana lagi kalau bukan negeri Kelantan Darul Naim. Ketika melalui jalan Mersing, aku terpanggil akan kenangan sewaktu masih kecil dahulu. 
Sungguh aku rindukan saat-saat manis itu. Apabila nampak sahaja papan tanda 'Air Papan', aku bingkas menepuk bahu mama dan berbisik,
" Mama, lama sangat tak bercuti kat Air Papan. Rindu nak macam dulu". Mama hanya tersenyum dan memberi jawapan yang mungkin hanya membuat jiwa anak muda ini kecewa. Aku diam dan membisu. Jelas kelihatan sawah bendang menghijau dari jauh, sawah yang mengingatkan aku kenangan sewaktu bercuti bersama jiran-jiran yang sudah dianggap sebagai keluarga sendiri. Jalan ke Air Papan diiringi sawah yang hanya beberapa ekar sahaja. Mungkin saja ianya hanya sisa sawah bendang yang tinggal hari ini. 
Air laut yang kebiruan itu kelihatan samar-samar. Aku mengamati pemandangan yang terhidang. Sayu sungguh rasa hati disaat itu. Mampukah kenangan bercuti bersama jiran-jiran sewaktu masih kecil berulang kembali? 
Kebiasaannya aku bercuti bersama tiga buah keluarga iaitu jiran-jiran yang sudah sekian lama kami kenal. Kami menyewa sebuah 'chalet' dengan keluasan yang besar dan muat untuk beberapa keluarga menginap. 'Chalet Cik Mokhtar' gelaran nama yang kami gunakan terletak berdepan dengan pantai! Dalam kata erti lain, buka sahaja pintu terus nampak laut! 
Sebagai anak kecil, pastinya aku berasa sangat seronok dan tidak sabar untuk terjun dan berendam di dalam laut meski matahari masih terik. Aku, Fizi dan Amy bagai isi dengan kuku. Kemana sahaja kami akan bersama. Air laut dari surut hingga pasang, barulah kami naik ke darat. Kami seronok bermain ombak, tanam badan dengan pasir, main bola dan paling kerap kami lakukan adalah mengapungkan badan. Ya, dan pastinya aku mampu mengapungkan badan dalam jangka masa yang lama walaupun berat badanku...hmm...
Selesai sahaja bermandi-manda, kami bersama kaum bapa dan adik-beradik yang lain akan naik pulang ke 'chalet'. Kebiasaannya kami hanya akan naik ke darat apabila melihat lambaian kaum ibu dari 'chalet' yang memanggil agar kami pulang. Baju yang dipenuhi pasir pantai, badan yang melekit disalut kemasinan air laut benar-benar melekat dalam ingatanku. Sebelum memasuki 'chalet', kaum ibu akan menyuruh kami berbilas dengan air paip dahulu dan baju yang dipakai ketika bermandi-manda dilaut itu akan digantung pada pagar agar boleh digunakan semula.
Kipas yang digunakan untuk  membakar ayam, ikan, sotong, lala, itu  kami deraskan kelajuannya. Api adakalanya memercik dan kami berlompatan menjauhinya. Paling digemari adalah ketika meletakkan minyak di atas ayam yang sedang dibakar, apinya akan menjulang sedikit tinggi. Aktiviti 'BBQ' ini kami lakukan pada waktu malam. Apabila menjelang tengah malam pula, kebiasaannya  kami akan  duduk bermain gitar, bernyanyi, dan bersiar-siar di tepi  pantai, menyaksikan pertandingan karaoke dan berjalan-jalan di deretan gerai-gerai yang  menjual cenderahati. Sungguh indah suasana ketika itu dengan angin laut yang sangat dingin dan sungguh mendamaikan.
Ketika hendak tidur pula, kebiasaannya kaum ibu dan anak-anak perempuan berada di bilik, kaum bapa dan anak-anak lelaki di ruang tamu, dan satu bilik disewa bagi kemudahan anak-anak bujang yang turut  mengikuti percutian. Sudah pasti suasana ketika malam sangat dingin  meski terik dan bahang disiang hari.
Aku tersentak dari  lamunan apabila disapa oleh mama. Sedar tidak sedar, bas yang membawa kami seramai 27 orang ke Kelantan telah tiba di Tanjung Gemuk untuk bersarapan sebelum meneruskan perjalanan yang mengambil masa hampir 11jam itu. Aku mengikut mama dan ayah turun dari bas dengan wajah yang agak sugul, lalu mama berbisik, " Nanti cuti lama, kita pergi Air Papan". Aku tersenyum dan hanya mengangguk tanda bersetuju. 
Meski nama 'Air Papan' itu agak pelik pada pandangan orang lain, tapi bagiku tempat itu penuh dengan segala kenangan manis yang pastinya tidak dapat aku lupakan. Aku rindu saat-saat itu!

No comments:

Post a Comment