Syafikah Rahim
Bukan salah nyamuk
Setelah empat hari bertarung dengan kesakitan yang aku rasakan, hanya mengambil ubat demam dan 'panadol', akhirnya aku tewas. Ayah dan mama membawaku ke klinik. Ketika di periksa, doktor menyatakan aku menghidap simptom-simptom Demam Denggi. Tetapi, hanya simptom sahaja dan aku tidak ditahan atau di ambil tindakan susulan. Lalu, aku diberi ubat dan pulang ke rumah dengan perasaan yang berbelah bahagi. Aku gembira kerana sakitku tidak serius dan dalam masa yang sama rasa takut jika aku benar-benar dijangkiti virus dari nyamuk Aedes.
Ubat yang diberi, aku ambil mengikut yang disarankan doktor. Sesekali sakitku datang kembali, tetapi lebih teruk dari sebelumnya. Namun, aku mendiamkan diri dan tidak memberitahu kepada kedua orang tuaku kerana bimbang dibawa ke hospital untuk diambil ujian darah. Kali ini sakit yang aku rasakan seperti mahu terkeluar sahaja biji mata dari ototnya.
Tiga hari selepas itu, aku tetap tewas dengan kesakitan yang telah dirasai selama hampir seminggu. Anggota tubuhku dipenuhi bintik-bintik merah seperti ruam. Aku terus menghubungi mama. Beberapa minit kemudian, ayah tiba di hadapan rumah lalu menyuruh aku mengemas pakaian dan buku untuk dibaca. Kami tunggu mama tiba dari tempat kerjanya.
Aku dibawa ke klinik kerajaan untuk diambil ujian darah. Ketika hendak mengambil keputusan ujian darah, aku dimarahi oleh jururawat. Pelik juga aku rasakan pada saat itu. Aku dimarahi kerana lewat membuat ujian darah dan keadaanku pada masa itu sangat kritikal. Aku dijangkiti virus aedes dan mengalami demam denggi berdarah. Aku diberitahu peluang untuk terus hidup hanya 50-50!
Allah, rasanya seperti gugur jantung ini. Aku lihat wajah kedua orang tuaku, kerisauan jelas terpancar. Aku cuba mengawal emosiku, aku tutup semua rasa kecewaku, aku lindung perasaan lemah dan sakitku, air mata ini aku tahan dari terus mengalir. Aku mahu kelihatan kuat di hadapan mereka. Mama mula cemas. Mana tidaknya, aku perlu menduduki kertas soalan syariah keesokan harinya.
Kedua-dua belah tangan dicucuk jarum untuk dimasukkan tiub air. Lalu, aku disuruh menaiki ambulan untuk dihantar terus ke hospital. Aku ditemani mama, manakala ayah pula menaiki kereta. Suasana dalam ambulan sangat cemas, dan aku mula kerisauan tetapi cuba juga untuk menutupnya. Tiba sahaja di hospital, aku dibawa ke wad kecemasan dan kedua orang tuaku diminta tunggu diluar.
Allah, sungguh lemah aku disaat itu. Lebih-lebih lagi apabila ayah dan mama tidak boleh berada bersamaku. Mereka semangatku! Aku dicucuk dengan jarum di kedua belah tangan dan lenganku. Aku dibawa ke wad. Ayah dan mama mengiringi. Siangku ditemani ayah dan mama. Malamku ditemani mama yang hanya tidur dikerusi dan ayah juga tidur di kerusi yang berada di tingkat bawah, tempat menunggu! Sungguh aku sebak! Aku hanya menyusahkan mereka! Setiap hari sepanjang berada di hospital, tepat pukul 4 pagi, aku dicucuk untuk diambil ujian darah. Darah memancut pada pakaian dan katilku. Aku cuba tahan dari menangis kerana bimbang mama tersedar dan risau melihat keadaanku.
Pada malam sebelum peperiksaan, aku didatangi oleh pegawai bahagian peperiksaan dan aku mengambil peperiksaan di hospital pada keesokan harinya. Berbekalkan semangat yang aku peroleh hasil dari pengorbanan ayah dan mama, aku dapat menjawab semua soalan dengan sempurna.
Dua hari selepas itu, aku telah menerima khabar berita gembira yang tidak disangka-sangka oleh para doktor yang merawatku. Hampir tiga orang doktor yang merawat dan mengawasi ujian darahku dan mereka tidak menyangka secepat dan semudah itu aku pulih dari sakitku. Kata mereka, peluang aku hidup agak tipis dan waktu untuk pulih semula memakan masa yang agak lama.
Akhirnya, aku sedar bahawa ajal maut terletak ditangan Allah dan tiada siapa yang mampu melawan kehendak takdir yang telah tertulis di Luh Mahfuz. Apabila Allah berkehendakkan sesuatu maka terjadilah.
Kita sebagai hambanya, perlu sentiasa yakin akan ujian yang diberikan penuh dengan hikmah dan perlu sentiasa berusaha..
No comments:
Post a Comment