Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Wednesday, October 23, 2013

Ujian Penciptaku

Ketika dalam perjalanan pulang ke Johor sempena cuti Hari Raya Aidiladha yang lalu, aku mendapat panggilan dari mama. Panggilan yang menyampaikan khabar tentang adik saudaraku telah dimasukkan ke hospital akibat jangkitan paru-paru. Allah hu Akhbar .. Pada saat itu hanya mampu berdoa dari jauh agar kembali sihat seperti biasa. Mana tidaknya, dia baru sahaja berumur 6 tahun dan pastinya dia yang merasakan kesakitan di usia semuda itu. Ketika sampai sahaja dirumah, aku menunggu mama dan ayah pulang dari tempat kerja. Aku mengemas pakaian untuk dibawa pulang ke kampung untuk menyambut Hari Raya Aidiladha dengan berat hati dan tidak seperti selalu. 

Di saat aku mengemas semua pakaian yang ingin dibawa, lantas fikiranku diterjah akan kenangan sewaktu dimasukkan ke hospital dua tahun yang lalu. Kuat benar kenangan sewaktu ditahan dihospital itu terpahat dalam ingatanku. Mana tidaknya, itu adalah pengalaman pertamaku dimasukkan ke hospital. 

Selepas sahaja tamat menjawab kertas soalan sejarah, aku bingkas bangun dan mengemas bagasi untuk pulang ke rumah. Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) yang aku duduki itu berbaki empat kertas soalan lagi. Rakan-rakan mula panik melihat keadaanku yang agak cemas ketika bergegas ingin pulang. Lantas, tanpa banyak soalan, mereka menemani sehingga aku tiba di rumah. Sakit kepala yang  dirasakan semakin kuat. Mama dihubungi dan aku mengadu kesakitan. 

Aku terjaga dari tidur ketika mama pulang dari tempat kerjanya. Lalu, diberikan ubat demam dan aku kembali terlelap kerana sakit kepala yang dirasakan tidak tertanggung lagi. Tiba sahaja waktu Maghrib, sakit yang dirasakan semakin kuat. Rasanya mahu saja dihentakkan kepala ini ke dinding. Mama mula risau dan ayah dihubungi. Badanku semakin panas dan reda sedikit selepas ubat demam ditelan. Namun, tidak juga kebah. 

Bahagian tengkuk, mata, kesemua sendi dan tulang kurasakan semakin berbisa ketika selesai mandi. Aku menangis dan mengadu kesakitan yang terlalu seksa aku rasakan saat itu. Ayah pulang dan ingin membawa puteri bongsunya ini ke klinik, tetapi aku degil! Kataku, 'Ini demam jawab soalan sejarah tadi'. Ayah mengikut sahaja kataku. 

Keesokan harinya, aku rasakan sakit semakin kuat. Ada kalanya, kesakitan itu pergi, ada kalanya datang menerjah dengan 1001 seksaan. Aku cuba kuatkan semangat melawan sakit yang dirasakan itu untuk bersedia menjawab kertas soalan seterusnya pada seminggu yang akan datang. Namun aku tidak berdaya, kesakitan itu telah mengawal seluruh tubuh. Jika demam, mengapa sehingga begitu kesakitan yang aku rasai? Sakit apakah aku ini? 

No comments:

Post a Comment