Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Monday, October 7, 2013

Kereta Bomba dan Anak Gadis

Ketika sedang dalam perjalanan untuk mencari santapan selepas sehari suntuk menghadiri kuliah, aku dikejutkan dengan bunyi nyaring siren yang datangnya dari arah bertentangan.Apabila terpandang sebuah lori bomba, baru disedari dari mana datangnya bunyi siren tadi. Lantas, merentap ingatanku ketika di zaman kanak-kanak dahulu. 

Ya, cita-cita yang diimpikan untuk menjadi seorang anggota bomba hampir-hampir saja dicapai ketika menghadiri ujian fizikal bomba. Pada awalnya, kelihatan hampir 50 wanita yang sama-sama menjalani ujian fizikal. Namun, jumlah itu berkurangan selepas satu demi satu ujian saringan dilakukan. Sehinggalah di tahap ujian sesi kedua, hanya tinggal aku wakil dari wanita. 

Pernah ketika di zaman kanak-kanak dahulu, ayah begitu memanjakan puteri bongsunya ini seperti seorang anak lelaki. Dibelikan pelbagai permainan yang seharusnya digunakan untuk kanak-kanak lelaki. Namun, bukan salah ayah, tetapi aku juga lebih selesa bermain permainan lelaki! Aku dibelikan sebuah kereta sorong persis lori bomba. Jelas mempunyai pili air, tali, tangga dan aku seolah-olah anggota bomba yang sedang ligat menyorong kenderaannya. Mungkin era ini rekaannya lebih menarik dengan pelbagai bentuk, fungsi, warna, saiz dan harganya. Namun, bagiku pemberian seorang ayah yang penuh dengan  kasih sayang yang lebih bermakna dan lebih disayangi. Mana tidaknya, kereta sorong yang dipanggil 'kereta bomba' itu berkhidmat dengan anak cilik ini sehingga mencecah usia 7 tahun . 

Ketika ibu mahu memberikan kereta bomba milik anak bongsunya ini kepada orang lain, aku mengamuk tidak mahu melepaskan. Aku nampak jelas wajah ayah yang membelikan kereta bomba itu meskipun menjadi lusuh dan reput setelah 5 tahun digunakan. Jelas kelihatan urat-urat tangan ayah ketika menolak anak kecilnya ini menaiki kereta bomba yang disayangi. Meski ibu memujuk untuk membelikan aku dengan permainan yang baru, hati ini berat melepaskan. Akhirnya, ibu mengalah dan membiarkan sahaja anak gadisnya dengan kereta bomba itu. Ayah pula, hanya mampu tersenyum melihat gelagatku. Dan aku, riang rasanya hati apabila masih mampu memiliki kereta bomba itu sebagai kenderaanku yang kedua.





No comments:

Post a Comment