Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Tuesday, December 10, 2013

Melaka dan Pokok Semalu

Tempoh hari yang lalu, aku mendapat panggilan telefon daripada seorang rakan persekolahanku. Dia menelefon hanya untuk memberitahu bahawa dia sedang bercuti di Melaka, Bandaraya Bersejarah. Cemburu bukan kepalang aku rasakan saat itu. Masakan tidak, salah satu negeri yang aku sukai dan gemari itu telah lama tidak aku jejaki. Seingatku, kali terakhir ke Melaka pada penghujung semester 2 yang lalu. Tetapi hanya seketika kerana mengikuti program anjuran kolej dan sebelum itu aku juga telah ke Melaka untuk bersiar-siar bersama temanku. Tidak banyak tempat yang sempat kami lawati kerana kesuntukan masa, namun banyak pembaharuan telah dilakukan lebih-lebih lagi di pesisiran Pantai Klebang. Sungguh asyik dek kedamaian yang ada di situ. Bila tubuh dan jasad sudah berada di Melaka, sudah pasti perkara yang paling aku nantikan ialah makanannya. 'Coconut Shake Pantai Klebang' dan kuih keria bersiranya menambat hatiku untuk terus melawati negeri itu. Di semester baru ini, belum lagi aku menjejakkan kaki ke sana. Meski anak jati Johor, namun hatiku terpahat dengan suasana dan keindahan yang terdapat di negeri bersejarah itu. 

Apabila bercerita tentang Melaka, aku teringat sewaktu zaman cilikku yang telah lama berlalu. Aku bersama jiran-jiran rapatku telah mengikuti keluarga salah seorang daripada jiran kami pulang ke kampung halamannya di Melaka. Seingatku usia pada masa itu dalam lingkungan tiga atau empat tahun. Seperti biasa, tiba sahaja musim cuti dan sesi berjalan bermula, keluargaku bersama dengan dua buah keluarga lagi akan pergi secara berkonvoi. Kanak-kanak paling muda ketika itu cuma aku. Kami menginap di rumah ibu kepada jiranku yang terletak betul-betul dihadapan sebuah makam. Nama makam dan pemilik makam tidak dapat aku ingati. 

Ketika kami disana, ada suatu perkara melucukan terjadi kepada jiran yang telah ku anggap sebagai abangku, Pizi. Sedang kami bersarapan di pagi pertama kami disana, hidangan roti 'sandwich' dan roti mentega telah menjadi menu hidangan untuk kami. Biasalah anak cilik seperti aku dan pizi tidak akan duduk diam, kerana ketika makan pun kami akan berjalan. Tiba-tiba, Pizi menjerit dan menangis! Aku segera memanggil ibunya untuk datang melihat keadaan anaknya. Rupa-rupanya, gigi Pizi yang ingin patah telahpun tertanggal ketika memakan roti. Semua yang melihat, geli hati melihatnya.

Namun begitu, berlaku perkara yang membuatkan aku menjadi sedikit penakut apabila aku mengikuti Pizi, Amy dan Alan ke makam yang terletak tidak jauh dari rumah itu. Kami hanya menghendap makam itu dari jauh kerana masing-masing telah dimomokkan dengan cerita-cerita misteri tentang makam itu oleh tuan rumah. Sedang asyik kami menghendap makam itu, tiba-tiba!! Aku menjerit dan berlari masuk ke dalam rumah. Rupa-rupanya aku terkejut kerana pokok semalu yang berada disebelahku ketika kami sedang menghendap makam itu menguncup ketika terkena jariku. Aduh! Malunya bukan kepalang. Sehingga kini, masih ku simpan gambar sewaktu kami disana.

No comments:

Post a Comment