Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Thursday, December 12, 2013

Busana Sekayu

Hari Raya Aidilfirtri telah lama berlalu pergi. Tetapi kenangan saban tahun meraikan hari kemenangan bagi umat Islam itu sentiasa segar diingatanku. Lebih-lebih lagi apabila sambutan hari raya diraikan bersama-sama keluarga dan saudara-mara tercinta di kampung halaman. Malah, kegembiraan meraikan hari raya ditambah lagi apabila kami masih lagi berkesempatan menyambut bersama nenek. Sudah menjadi kewajipan bagi kami sekeluarga untuk berpakaian sedondon pada hari raya pertama. Tampak lebih akrab dan meriah. 

Bercerita tentang sambutan hari raya, kami akan pulang ke kampung dua atau tiga hari sebelum raya. Membantu mempersiapkan rumah nenek yang pasti menerima tetamu tanpa henti pada hari raya pertama dan kedua. Ya, tetamu yang datang tidak putus. Kunjungan dari saudara-mara sama ada jauh atau dekat tidak akan kami persiakan. Juadah wajib pada hari raya sudah pasti ketupat, rendang susu, ayam masak kicap, sayur lodeh dan sambal goreng. Kebiasaannya mama yang akan memasak juadah ketika hari raya. Kelazatannya tidak dapat diungkapkan. Juadah biasanya dimasak pada hari terakhir berpuasa. Aku dan saudara-mara yang lain akan turut membantu. 

Pada malam sebelum raya, seusai saja solat Maghrib, nenek akan mengajak aku serta saudara-mara yang lain duduk sebentar untuk membuat tahlil ringkas dan bertakbir. Syahdu hati bila masih berkesempatan menyambut bersama nenek. Selesai solat Isyak, kami akan berlawan bermain mercun dengan jiran-jiran di sebelah rumah nenek. Jiran-jiran juga adalah saudara-mara kami. Pakaian hari raya akan diseterika selesai sahaja menikmati juadah makan malam.

Paling menjadi kesukaan dan kegemaran aku serta saudara-mara adalah mengambil gambar dengan gaya melompat. Ya, melompat di padang sekolah yang terletak di hadapan rumah nenek! Keakraban kami jelas terpancar apabila sesi bermaafan di pagi hari raya dan aktiviti menziarahi ke rumah saudara-mara yang lain dengan pakaian yang sedondon! Teringatku pakaian pertama kami yang sedondon ialah hijau. Kemudian tahun seterusnya berwarna oren, merah, ungu, kelabu, biru, dan hijau terang.

Tersimpan satu gambar kenangan sewaktu aku dan saudara-mara yang lain ketika masih kecil. Kedudukan kami dalam gambar disusun mengikut turutan umur. Dari saudara yang berumur paling tua sehingga paling muda. Gambar di ambil sekitar tahun 1990-an dan kami mengambil semula gambar seperti susunan dalam gambar tersebut pada tahun lalu. Nampaknya sudah banyak yang berubah dan kami tersenyum malu melihat teletah masing-masing sewaktu kecil. Malah, sehingga ke hari ini, kami semua masih memperoleh duit raya daripada nenek kesayangan kami. Aku panjatkan doa agar hubungan dan keakraban yang terbina ini kekal hingga ke hujung nyawa. Kerna aku tahu tidak semua berpeluang merasakan pengalaman menyambut hari raya bersama saudara-mara serta datuk dan nenek.






No comments:

Post a Comment