Syafikah Rahim
Rotan Mendidik
Semasa sedang sibuk menyiapkan tugasan yang harus ditulis dalam Bahasa Inggeris, aku dalam keadaan kalut menggerak-gerakkan jari runcing pada tetikus. Pautan 'Google Translate' diklik. Aku segera menaip tugasan dalam bahasa Melayu dan menukarkan ke dalam bahasa Inggeris. Tekun sungguh aku melaksanakan tugasan tanpa memikirkan kesan buruknya kepadaku. Tiba-tiba saja, telefon bimbitku berbunyi dan aku menjawab panggilan itu. Ayah menghubungiku.
Setelah tamat perbualan, aku menyambung semula kerja-kerja mengalih bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris dengan mudahnya tanpa Kamus!
Lantas, aku teringat akan kenangan sewaktu dirotan oleh ayah sewaktu aku masih bersekolah di sekolah rendah. Usiaku pada waktu itu dalam lingkungan 10 tahun.
Hari Perjumpaan Ibu Bapa telah berlangsung ketika peristiwa ini berlaku. Seperti biasa, mama adalah insan yang akan ke sekolah untuk mengambil penyata peperiksaanku. Keputusan peperiksaan yang diperolehi cemerlang. Aku dan mama tersenyum. Namun, ada perkara membuatku tersentak apabila melihat markah yang diperoleh bagi matapelajaran bahasa Inggeris ditulis dengan pen berwarna merah!. Ah! Gagal! Perasaanku serta-merta berubah, degupan jantung yang tadinya ibarat air di sungai kini kencang bagai ditiup taufan. Mama yang sedar keadaan gadis ciliknya ini, memujuk. Kami pulang ke rumah. Penyata keputusan peperiksaan diletakkan di atas meja untuk ayah lihat bila pulang dari kerja petang itu.
Setibanya ayah dirumah, penyata keputusan peperiksaan dilihat. Tiba-tiba saja air muka ayah berubah. Aku dimarahi dan dirotan kerana gagal dalam matapelajaran bahasa Inggeris. Aku menangis walaupun ayah merotan dengan perlahan. Rasanya tidak sakit. Aku faham, ayah merotan bukan sebab benci tetapi ingin memberi pengajaran kepadaku.
Namun, selepas dirotan dan dipujuk oleh mama, aku terlena. Pada malam itu, aku tersedar dan terlihat ayah sedang menyelimutkan ku dan mencium dahiku. Aku faham mungkin ayah ingin meminta maaf.Sedangkan aku tahu niatnya merotan kerana ingin melihat anak-anaknya berjaya dalam pelajaran. Namun, itu adalah kali pertama dan terakhir ayah merotanku. Malah, aku dapat rasakan, bisa rotan yang pernah hinggap dibetisku pada waktu itu telah memberikanku kelebihan apabila berjaya bertutur dan menulis dalam Bahasa Inggeris dengan lancar. Itulah dia ayah.. Marahnya bukan benci, tapi hanya ingin memberikan pengajaran buat anaknya.
No comments:
Post a Comment