Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Wednesday, December 11, 2013

Teko Mama

Sedang aku duduk beriadah bersama mama sewaktu cuti  semester yang lalu, aku teringat akan kisah sewaktu masih kecil yang pernah aku lakukan terhadap mama. Usiaku pada waktu itu tujuh tahun. Mama menghidangkan tetamu yang datang bertandang ke rumah pada hari itu dengan air dan sedikit makanan ringan. Pulang sahaja tetamu yang tadinya bertandang, aku bingkas meminta kebenaran mama untuk membawa teko air ke dapur dan ingin membasuhnya. Mama memberi keizinan. Melonjak bukan main seronoklah dapat bermain "masak-masak". 

Ceritanya bermula, air teh yang dibancuh mama masih berbaki lagi dan aku menambah air paip untuk bermain "masak-masak" tanpa mama mengetahuinya. Sambil membancuh-bancuh air dalam teko, sempat juga aku meninjau-ninjau ke ruang tamu bimbang mama nampak perbuatanku. "Oh, mama tengah menjahit!" Bertambah gembiralah hatiku. Aku membancuh sekuat hati dan berulang kali. Tiba-tiba....! Air yang dibancuh keluar meluru dari bawah teko. Bila diteliti, terdapat kesan berlubang pada teko tersebut. Aku mula rasa panik, takut, bimbang kalau-kalau dimarahi. 

Lantas, aku segera memberitahu mama dan hampir-hampir saja dimarahi. Mujur mama memahami jiwa dan naluri anak gadisnya ini hanya ingin bermain "masak-masak". Akhirnya, mama yang membuangkan teko itu kerana bimbang aku bermain lagi. Itulah mama yang aku kenal, tidak pernah marah meski disakiti. 


No comments:

Post a Comment