Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Friday, December 13, 2013

Dia Segalanya

Tika aku pergi sementara jauh dari rumah
Ibulah yang selalu menelefonku
Tapi aku yakin ayah yang mengingatkan ibu

Tika aku merajuk diam seribu bahasa
Ibulah yang selalu memujuk dengan pelbagai cara, 
Tapi aku yakin ayahlah yang menyuruh ibu

Tika aku berjaya dalam sesuatu bidang
Ibulah yang membeli hadiah buatku
Tapi aku yakin ayahlah yang memberi wang itu kepada ibu.

Tika aku sakit tak dapat tidur malam
Ibulah yang akan menemani di sampingku
Tapi aku yakin ayah juga tidak selesa tidur pada waktu itu.



Ayah, bagiku dia seorang yang hebat. Meski dari luaran tampak garang, tapi hatinya sungguh lembut dan penyayang. Dia hebat, dia kuat tidak seperti orang lain yang pernah aku kenali. Siangnya membanting tulang mencari rezeki untuk isteri dan anak-anak, waktu maghrib dan subuhnya jarang sekali alpa menjejakkan kaki ke surau, malamnya tidak pernah keluar tidak bertemankan mama. Ayah yang aku kenal, tidak pernah keluar malam dan duduk membuang masa di kedai-kedai makan. Dia tidak pernah menghiraukan sakit, pening isteri dan anak-anaknya. Malah, dia paling mudah menitiskan air mata tika melihat insan-insan disayanginya jatuh sakit. Itulah dia, ayahku.. Bukan lemah tetapi naluri penyayang dan rasa tanggungjawabnya amat tinggi. Teringat saat mama dijangkiti demam 'Chikugunya' beberapa tahun yang lalu. Sakit yang dialami telah membuatkan mama tidak mampu melakukan semuanya sendirian. Lantas, ayah mengambil cuti beberapa hari untuk menjaga mama. Ya Allah.. Sungguh murni kasih sayang yang ayah limpahkan untuk mama. Begitu juga sewaktu aku ditahan di hospital selama beberapa hari, ayah menahan sakit tubuh tidur di kerusi di ruangan menunggu. Ayah menyuapkan makanan ke mulutku, ayah yang menitiskan air mata saat aku dicucuk dengan jarum.

Ayah tidak pernah membezakan dan berat sebelah terhadap kedua-dua orang anaknya. Meski kakak berada jauh dari matanya, ayah tidak pernah lupa bertanyakan tentang kesihatan dan masalah kakak. Aku nampak jelas sikap penyayang ayah kerana aku yang selalu berada di rumah. Ayah tidak akan bertanya terus kepada kakak, tetapi akan menyuruh aku atau mama menghubungi kakak bertanyakan perkhabaran anaknya itu. Itulah dia, ayahku. Perwira dalam hidupku. 

Ayah, ku rindu wajahmu, ku rindu redup matamu, ku rindu tenang senyumanmu. Meski tidak kuluahkan ketika berhubung dalam telefon, tapi aku yakin ayah pasti merasai. Ayah, terima kasih kerana tidak pernah putus mencurahkan kasih sayangmu. Engkau satu-satunya ayah dalam hidupku hingga hujung nafasku.


No comments:

Post a Comment