Syafikah Rahim
Aku dan speda beroda tiga
Ketika kaki melangkah laju pulang ke kampus selesai sahaja kuliah tempoh hari yang lalu, lantas aku terpandang akan dua orang mahasiswi sedang berbasikal dengan keriangan ditiup angin yang deras. Riangnya mereka berbasikal mengingatkan aku saat pertama kali dihadiahi sebuah basikal oleh ayah. Aku dihadiahi basikal beroda tiga dan kakakku mendapat basikal yang mempunyai gear. Mungkin agak muda juga usiaku pada waktu itu kerana ayah mahu bersikap adil terhadap dua orang puterinya. Jadi, ayah perlu membelikan aku basikal kerana bimbang puteri bongsunya ini merajuk. Lalu, ayah meminta penjual basikal yang berbangsa cina itu menghantar basikal kami ke rumah.
Pada waktu petang dengan mentari yang agak terik ketika itu, sedang aku bermain pasir bersama kawan-kawan di taman permainan yang terletak tidak jauh dari rumah, lalu aku terpandang sebuah lori berada di hadapan rumahku. Aku melompat keriangan. Melepaskan sudip pasir yang berada di tangan. Kawan-kawan yang berada ketika itu tercengang melihat gelagatku. Semua alat permainan milikku, aku kemaskan di dalam bakul yang terisi segala khazanah alat permainan yang dibelikan oleh kedua orang tuaku. Lantas aku berlari meninggalkan kawan-kawan yang masih lagi terpinga-pinga. Dalam hatiku berkata, ' kawan-kawan jangan pulang ke rumah dahulu. Aku ada basikal baru'. Aku berlari dengan penuh semangat.
Tiba sahaja di rumah, aku terus rapat ke sisi ayah. Aku pegang erat tangan ayah. Sudah tidak sabar lagi rasa hatiku ini ingin mengayuh basikal baru. Aku melihat penjual yang berbangsa cina itu menurunkan basikal kecil dari lorinya. Segera aku menyuruh ayah memberiku peluang membawa basikal bersiar-siar ketika itu. Tetapi ayah menghalangku. Kata ayah, aku perlu belajar mengimbangi badan dahulu supaya tidak jatuh. Aku hanya menurut kata. Basikal milik kakak pula diturunkan. Selesai sahaja kedua-dua basikal diturunkan, penjual berbangsa cina itu beransur pulang. Ayah melihat basikal milikku. Skru pada bahagian roda tambahan ayah perkemaskan. Lalu, saat yang ditunggu olehku tiba. Ayah meminta aku naik ke atas basikal dan mengayuh dengan perlahan dan berhati-hati. Riangnya hati seorang anak kecil sepertiku apabila mendapat kenderaannya sendiri. Aku mengayuh dengan penuh berhati-hati. Ya, roda tambahan di bahagian belakang sangat membantu aku mengimbangi tubuhku yang agak berisi ketika itu. Kakak pula, ayah ajarkan cara menukar gear yang ada pada basikalnya. Aku mengayuh basikal tidak jauh dari tempat ayah kerana bimbang basikalku rosak dan kotor. Mama pula, hanya tersenyum melihat gelagat puterinya ini mengayuh basikal dengan penuh semangat. Menitis titik peluhku mengayuh basikal di lap dengan tuala oleh mama. Kakak pula hanya belajar menukar gear rendah kepada gear tinggi. Ayah terus memerhati gelagat dua orang puteri dengan basikal baru kepunyaan masing-masing. Setiap hari, tiba sahaja waktu senja, aku dan kakak menyimpan dan mengunci basikal dihadapan rumah. Malah, aku hampir saja setiap hari mengelap setiap butir-butir debu yang melekap pada tubuh basikalku. Sayang. :)
Lamunanku dari kisah silam ketika mendapat basikal baru, terhenti apabila di hon oleh kereta yang hampir saja melanggar tubuhku. Aku tersentak dan digelakkan oleh rakan-rakan yang berada denganku ketika itu. Aku tertunduk malu. Sungguh aku rindukan saat-saat itu.
:)..seronok membaca kisah saudara..
ReplyDeleteterima kasih saudara Zuraini
ReplyDelete