Syafikah Rahim

GEMERSIK SUARA

Friday, September 27, 2013

Rutin dinihari..

Mama! Mama! Mama! Aku menjerit sekuat hatiku, jeritan yang hampir sahaja meruntuhkan langit pagi, jeritan yang sudah pasti menjadi halwa telinga orang di sekelilingku. Aku bagai anak kucing kehilangan ibunya. Aku memegang kuat tubuh tua itu. Genggaman jari-jemariku mampu saja merobek pakaian yang melekap di tubuh tua itu. Ya, aku menangis sekuat hatiku tanpa peduli orang-orang yang sedang memerhatikanku. Terdengar juga suara yang tenggelam timbul memujukku. Namun, tidak aku peduli. Aku terus menjerit. Meneruskan tabiat tidak senonohku di hadapan orang lain. Tabiat apakah yang aku lakukan itu?
Mengamuk. Ya. Aku mengamuk setiap kali tiba di pintu masuk tadika. Kain batik lusuh yang dipakai pengasuhku hampir saja terlucut. Aku bagai dirasuk. Aku memberontak tidak mahu pengasuhku meninggalkan tadika. Dalam benak kecilku, aku mahu pengasuh menunggu saja di hadapan pintu, paling tidak di tepi tingkap sehingga tamat waktu belajar. Aku jadi begitu kerana takut keseorangan tanpa ditemani mama. Aku sedia maklum bahawa mama harus bekerja setiap hari. Jadi, aku harus menumpang kasih sementara ayah dan mama bekerja. Aku memberontak tidak mahu ditinggalkan oleh pengasuh ketika tiba sahaja di tadika. 
Gelagatku ini telah mampu diramal oleh guru dan rakan-rakanku sebaik sahaja aku dihantar ke tadika. Lalu, pengasuhku terpaksa juga melayankan karenah kecilku. Dia menunggu sehingga tiba waktu rehat. Aku sudah pastinya lupa dan hilang rasa ketakutan pada saat yang paling aku gemari itu. Makanan yang dihidangkan di tadika yang paling aku tunggu adalah roti yang disapukan dengan 'butter' dan gula yang dikisar halus. Aku makan dengan puasnya dan hampir saja lupa dengan teriakan aku di awal pagi. 
Apabila tamat sahaja waktu sekolah, aku adalah orang yang pertama sekali berada di pintu hadapan. Aku mencari-cari pengasuhku. Setiap hari pulang dari tadika, aku dijemput olehnya. Wajah pengasuhku kelihatan. Aku segera berlari ke arahnya dan dibawa pulang. Apabila jam menunjukkan jarumnya di nombor 5, aku segera menunggu mama pulang dan mengambilku. Lalu diceritakan tabiatku yang gemar mengamuk itu kepada mama oleh pengasuhku. Mama hanya ketawa dan mencium dahiku. Dek kerana tabiatku inilah, sehingga aku dewasa masih lagi menjadi perbualan di antara pengasuh, mama dan jiran-jiranku.

No comments:

Post a Comment